Friday, September 16, 2011

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Kali Ke - 54



Bendera Malaysia dikenali sebagai Jalur Gemilang, mengandungi 14 jalur merah dan putih (melintang) yang sama lebar bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan berakhir dengan jalur putih di sebelah bawah, tanda keanggotaan yang sama dalam persekutuan 13 buah negeri dan 1 kerajaan persekutuan - Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu dan Kerajaan Persekutuan.

Bahagian yang berwarna biru tua di atas sebelah kiri membawa ke bawah hingga atas jalur merah yang kelima itu maknanya perpaduan rakyat Malaysia. Bahagian biru tua itu mengandungi anak bulan tanda Agama Islam - agama rasmi bagi Persekutuan (Malaysia).

Bintang pecah 14 itu tanda perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan. Warna kuning pada anak bulan dan bintang itu ialah warna Diraja bagi Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja.

Friday, August 12, 2011

Detik keagungan turunya Al-quran



SETIAP malam 17 Ramadan, umat Islam memperingati malam Nuzulul-Quran - malam diturunkan wahyu pertama dan selanjutnya.

Pada dasarnya makna 'nuzul' ialah turunnya sesuatu dari atas ke bawah. Namun untuk Al-Quran, ia merupakan pemberitahuan Allah lewat Malaikat Jibrail as kepada Nabi Muhammad saw.

Ada beberapa tahap dalam proses penyampaian wahyu.

Pada mulanya, Al-Quran diturunkan oleh Allah pada suatu tempat yang dipanggil 'Lauh Mahfuz' secara keseluruhan dan tiada diketahui masanya. Hal ini terpapar dalam maksud Surah Al-Buruuj, ayat 21-22:

'(Sebenarnya apa yang engkau sampaikan kepada mereka bukanlah syair atau sihir), bahkan ialah Al-Quran yang tertinggi kemuliaannya; (lagi yang terpelihara dengan sebaik-baiknya) pada Lauh Mahfuz.'

Kemudian ia diturunkan secara keseluruhan juga ke Baitul Izzah di langit dunia pada suatu malam di bulan Ramadan. Hal ini terakam dalam maksud Surah Al-Baqarah, ayat 185:

'(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.'

Tahap berikutnya: wahyu disampaikan kepada Nabi saw secara beransur-ansur sekitar 22 tahun melalui Malaikat Jibrail bak maksud firman-Nya pada surah Asy-Syuara', ayat 193-194:

'Al-Quran dibawa turun oleh Malaikat Jibrail yang amanah - ke dalam hatimu, supaya engkau (Wahai Muhammad) menjadi seorang daripada pemberi-pemberi ajaran dan amaran (kepada umat manusia).'

Selanjutnya, hayati firman- Nya pada Surah Al-Israa, ayat 106:

'Dan Al-Quran itu Kami bahagi-bahagikan supaya Engkau membacakannya kepada manusia dengan lambat tenang; dan Kami menurunkannya beransur-ansur.'

Juga maksud ayat 32, Al-Furqan:

'Dan orang-orang yang kafir berkata: 'Mengapa tidak diturunkan Al-Quran itu kepada Muhammad semuanya sekali (dengan sekali gus)?' Al-Quran diturunkan dengan cara (beransur-ansur) itu kerana Kami hendak menetapkan hatimu (Wahai Muhammad) dengannya, dan Kami nyatakan bacaannya kepadamu dengan teratur satu persatu.'

Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur kerana banyak hikmahnya, antara lain:

Ia menjadi kesenangan dan ketenangan hati Nabi Muhammad dengan berjumpa kekasihnya.

Ia lebih mudah difahami, dihafalkan, diimani dan diamalkan.

Akan sentiasa ada mukjizat yang baru pada setiap turunnya ayat-ayat surah.

Ia boleh mengalahkan cabaran musuh Islam dengan jawaban langsung daripada Allah.

Ia menjawab soalan para sahabat dan juga orang kafir.

Ia tiada kesalahan dalam masa yang lama yang menegaskan bersumber daripada yang Esa iaitu Allah yang Maha Benar - bukan rekaan manusia.

Sebab atau latar belakang turunnya ayat dikenali dengan disiplin 'asbabun nuzul'.

Imam As-Sayuthi (849-911H) mengumpulkan hadis-hadis juga pendapat para sahabat berkenaan dengan asbabun nuzul ini dalam kitabnya, Lubaabun Nuquul Fii Asbaabin Nuzuul.

Sebahagian besar ayat diturunkan kerana untuk memberi hidayah dan petunjuk, panduan jalan yang benar (seperti ayat Ar-Rum: 30), berisi cerita untuk iktibar umat seperti kisah Nabi Yusuf, banyak juga ayat yang diturunkan untuk menjawab keadaan dan kemusykilan.

Ayat 43 surah An-Nisaa menjawab pertanyaan para sahabat dan juga orang Yahudi serta Nasrani. Begitu juga maksud turunnya ayat 83-89 dalam Surah Al-Kahfi.

Disiplin 'asbabun nuzul ' untuk memudahkan kita memahami makna ayat Al-Quran, menghafalkannya dan membantu mengetahui ayat-ayat yang diganti (nasikh) dan dihapuskan (mansukh) dan tempat turunnya ayat iaitu di Makkah (makky) atau di Madinah (madany).

'Asbabun nuzul' bersandarkan hadis dan kesaksian para sahabat yang diiktiraf adil dan sahih (benar).

Ubah text komputer anda yang terlalu kecil




ANDA mungkin pernah mengadu bahawa teks di komputer anda terlalu kecil - menyebabkan anda terkenyit-kenyit mata dan berasa pening.

Namun anda tidak perlu berkorban lebih lanjut lagi.

Dalam komputer

1) Pergi ke laman Display Properties dalam Windows.

Control Panel >Display

2) Anda akan disajikan dengan tingkap Display Settings, dibahagikan kepada lima butang berbeza - Themes, Desktop, Screen Saver, Appearance dan Settings.

3) Klik Appearance. Anda akan diberi beberapa pilihan untuk mengubah saiz Font serta tema dan warna Windows anda.

Di laman web

Kebanyakan daripada pelungsur Internet menggunakan salah satu daripada aplikasi pelungsur Internet berikut: Internet Explorer, Mozilla Firefox dan Google Chrome. Anda juga boleh mengubah saiz teks atau font di laman web yang anda lawati.

1) Tekan CTRL + Roda tatal (scroll wheel) tetikus

Saiz teks boleh dibesar atau dikecilkan menerusi kaedah ini.

2) Anda juga boleh pergi ke View (Firefox) atau Page (IE) dan mengubah saiz teks anda.

Namun tidak semua laman web akan menuruti arahan anda ini kerana pemiliknya telah menetapkan garis panduan rekaan yang ketat.

Tuesday, August 2, 2011

Keluarga Saudi berpaling pada amah tanpa izin



MAKKAH: Menjelang Ramadan ini, penduduk di Arab Saudi semakin terdesak mencari pekerja bagi membantu mereka melakukan kerja rumah.

Permintaan meningkat dan pembekuan pengambilan tenaga kerja dari beberapa negara Asia menyebabkan gaji pembantu rumah naik tinggi.

Dalam tinjauan yang dilakukan, ramai suri rumah di Arab Saudi berkata mereka amat memerlukan pembantu rumah bagi membantu mereka sepanjang Ramadan.

Seorang majikan, Cik Futoon Al-Saad, berkata pembantu rumahnya melarikan diri sejak Syaaban.

Menurut beliau, pembantu rumahnya meninggalkan nota tetapi beliau tidak faham apa yang ditulis kerana ia dalam bahasa Indonesia.

Beliau terpaksa meminta bantuan pemandunya, yang berkata nota itu berbunyi: 'Saya sudah dapat kerja dengan gaji 2,500 riyal sebulan ($803) di rumah lain. Saya terpaksa melarikan diri daripada puan bagi mendapatkan gaji lebih baik daripada hanya 800 riyal yang puan bayar.'.

Cik Futoon berkata beliau tiada pilihan lain dan terpaksa mencari pembantu rumah tiada izin.

Beliau ikut nasihat seorang kawannya dan menghubungi seorang broker dari Indonesia dan memintanya mencarikan pembantu rumah.

Broker itu berkata beliau boleh mendapatkanya sekiranya Cik Futoon sedia mengikut syaratnya, yang termasuk membayar gaji 2,500 riyal sebulan dan tugasnya tidak termasuk membasuh atau mencuci pinggan.

Selepas tawar-menawar, pembantu rumah tan izin itu menerima gaji 2,283 riyal sebulan.

'Saya gembira sekarang kerana saya dapat pembantu rumah yang akan membantu kerja saya sepanjang bulan puasa ini,' kata Cik Futoon.

Seorang lagi majikan, Cik Suzan Gamlo, berkata beliau juga meminta bantuan seorang broker Indonesia untuk mencarikan pembantu bekerja dengannya sepanjang Ramadan


informasi ini di petik oleh pelbagai sumber untuk tatapan umum..

Gelongsor untuk pekerja di stesen komuter



UTRECHT, Belanda - Bilangan pengguna komuter sering kali meningkat terutama pada waktu pagi.

Kini pengguna menarik nafas lega dan berterima kasih apabila gelongsor telah disediakan di tepi tangga sebuah stesen kereta api di sini.

Gelongsor itu digunakan oleh orang ramai yang bekerja di sekitar kawasan berkenaan bagi menjadikan perjalanan lebih cepat tanpa menggunakan tangga.

Direka oleh firma reka bentuk Designers HIK, gelongsor yang dibina itu sungguh hebat untuk pengguna yang kelewatan atau sekadar ingin menambah keseronokan kehidupan seharian masing-masing.


-informasi ini dipetik oleh pelbagai sumber untuk tatapan umum..

Wednesday, October 27, 2010

Melatih Diri Menguruskan Masa.


Allah swt ada memberikan panduan kepada kita cara untuk memaksimakan masa kita seperti firmanNya di dalam surah Al Asr ayat 1- 3 yang bermaksud:

"Demi masa! Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran"

Imam Ibnu Jarir menerangkan bahawa manusia benar-benar dalam keadaan binasa dan rugi,melainkan mereka yang mentaati Allah serta menjauhi tegahanNya.

Amal ibadah dalam rukun Islam menekankan kepentingan masa. Latihan-latihan yang terdapat di dalamnya mampu mendidik umat mengurus masa dengan baik.

Sebagai contoh: Melaksanakan solat fardu pada waktu yang ditetapkan adalah sebahagian daripada disiplin Islam yang wajib kita tunaikan. Firman Allah dalam surah An-Nisa ayat 103 yang bermaksud: "Solat adalah satu ketetapan berwaktu yang diwajibkan ke atas orang-orang mukmin."

Solat dapat melatih seorang muslim menghargai dan mengurus masa dari segi menjaga ketepatan,tidak menangguh-nangguhkannya dan juga memanfaatkan masa beribadah itu sebaik mungkin dengan khusyuk hanya mengingati Allah dan meninggalkan urusan dunia.

Begitu juga dengan ibadah puasa yang dimana puasa itu bermula dari masuknya waktu subuh sehingga masuknya waktu magrib. Jika kita masih menjamah makanan setelah azan subuh maka tidak sahlah puasa kita itu dan begitu juga jika kita berbuka seminit lebih awal dengan sengaja maka puasa kita dianggap batal.

Ibadah zakat dan haji juga mempunyai latihan yang berkaitan dengan pengurusan masa. Zakat wajib dikeluarkan apabila cukup nisab dan haulnya. Haul bermaksud genap setahun peredaran masa.

Justeru untuk mengeluarkan zakat, seseorang perlu prihatin dengan masa di samping sentiasa mengemaskinikan rekod perniagaan dan harta bendanya.

Bagi perlaksanaan ibadah haji pula, ianya hanya sah dilakukan pada bulan dan masa yang tertentu sahaja.

Oleh itu semua ibadah ini melatih umat Islam menjadi golongan yang memandang penting pengurusan masa dalam kehidupan demi untuk mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat.

Berbudi Pekerti



Maksud firman Allah s.w.t:

"Dan sesungguhnya kamu (Nabi Muhammad s.a.w) benar-benar di atas budi pekerti yang agung".(Surah al-qalam : 4)

Begitulah pengiktirafan yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t kepada Nabi junjungan yang mulia. Maka seharusnya, kita mencedok pengajaran daripada sejarah hidup baginda serta mempratikkan akhlak yang baik. Ini bersesuaian dengan maksud firman Allah s.w.t :

"Sesungguhnya di dalam diri Rasulullah s.a.w. contoh yang terbaik bagi sesiapa yang mengharapkan Allah dan hari akhirat". (Surah al-ahzab : 21)

Ini dikuatkan lagi dengan pengakuan Saydatina Aisyah r.a. ketika menjelaskan tentang sifat baginda Rasulullah s.a.w yang sinonim dengan Al-quran.

Terdapat banyak kemuliaan budi pekerti yang dipaparkan oleh baginda dan di antaranya ialah: memelihara hubungan sesama manusia melalui interaksi yang baik. Ini dapat dilakukan semudah dengan menebar senyuman, menghulur salam dan mengucapkan kata-kata yang baik. Lanjutan daripada itu, kita juga diajak untuk meringankan beban orang yang menderita, memberi makan orang yang kelaparan, menziarah orang yang sakit, menolong orang yang dizalimi dan membantu orang yang ditimpa musibah.

Perbuatan baik akan menghasilkan ketenangan jiwa terutama pada pelakunya. Kebaikan ibarat wangian yang tidak hanya memberi kesan yang mengharum bagi pemakainya, bahkan juga orang di sekeliling.

Di samping manfaat emosi dan sosial, Rasulullah s.a.w juga menjanjikan ganjaran, yang dinyatakan melalui maksud sebuah hadith :

"Tidakkah pernah aku memberitahu kamu siapa yang dekat tempat duduknya denganku pada hari qiamat nanti? Mereka ialah yang paling baik akhlak dan prilakunya".

Oleh itu, marilah sama-sama kita merebut peluang ini agar menjadi umat baginda yang sentiasa menghias diri dengan akhlak terpuji.

Ingatlah bahawa naluri gemar berbuat baik merupakan nikmat Allah s.w.t. Ia juga dianggap sebagai suatu bentuk penyebaran nilai-nilai mulia yang menggambarkan risalah Rasulullah s.a.w.

Semoga Allah s.w.t memberi kita kemudahan untuk konsisten dalam kebaikan.

Jumlah Jahitan Pada Bola Sepak


Bola merupakan antara peralatan sukan penting yang diperlukan banyak jenis permaianan di dunia. Ia didapati dalam pebagai ukuran dan bentuk bergantung kepada jenis sukan dan cara bola itu digunakan dalam gelanggang.

Mengambil contoh bola sepak, ia sebenarnya diperbuat dari 32 helaian kulit yang digabungkan menerusi 642 jahitan keselurhannya. Penghasilan menerusi jahitan tangan itu adalah untuk menjadikan bola tersebut kukuh serta tahan lama.

Untuk bola sukan besbol pula, ia diperbuat dari bahan sintektik and mempunyai 108 jahitan.

Kuasa Air


Tahukah anda air boleh berkembang lebih kurang 1/9 jumlah komposisinya dan ini bermakna apabila membeku ia mengambil lebih banyak ruang berbanding dalam bentuk cecair?

Biasanya fenomena berkenaan berlaku semasa musim dingin apabila terdapat paip pecah akibat pembentukan ais.

Paip yang dahulunya sesuai untuk pengaliran air menjadi sempit apabila ais terbentuk.

Sifat logam yang rapuh semasa membeku menjadikan keadaan lebih buruk apabila air membeku membentuk ias.

Malah kuasa air membeku biasanya digunakan di kuari untuk memecahkan bongkah batu.

Kesan Terbentuknya Jerawat



Masalah jerawat sering muncul pada bahagian-bahagian kulit yang sensitif seperti muka dan juga badan. Jerawat biasanya terbentuk apabila liang pada kulit tersumbat dengan sebum, bakteria, hormon dan juga sel kulit mati.

Sebum dihasilkan oleh folikel rambut dan semakin banyak sebum dikeluarkan semakin tinggi kebarangkalian jerawat akan muncul. Jika liang yang tersumbat kekal tertutup membengkak, ia dikenali sebagai jerawat putih manakala jika liang yang tersumbat kekal terbuka dan permukaan atasnya menjadi gelap, ia dipanggil jerawat hitam.

Antara faktor yang menyebabkan pembentukan jerawat adalah kerana tekanan psikologi, faktor kelembapan persekitaran, penggunaan kosmetik, ubat-ubatan dan juga jenis pekerjaan.

Sunday, September 26, 2010

Bumi huru-hara 2013 kerana matahari



GAMBAR fail yang dirakamkan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat menunjukkan nyalaan api di matahari pada 8 September lalu.


LONDON - Aktiviti nyalaan api yang meluap-luap di matahari akan mencetuskan huru-hara di seluruh dunia pada tahun 2013, lapor sebuah akhbar semalam.

Nyalaan api yang meluap-luap itu dijangka memutuskan bekalan elektrik dan komunikasi satelit selain menjejaskan penerbangan, perkhidmatan kewangan dan komunikasi radio di Bumi melibatkan tempoh sehingga beberapa bulan.

Maklumat itu didedahkan oleh Setiausaha Pertahanan Britain, Dr. Liam Fox semasa dia menyampaikan ucapan pada persidangan kelemahan grid elektrik di seluruh dunia di sini pada Ahad lepas.

Sebelum ini, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) memberi amaran nyalaan besar matahari itu akan menghasilkan tahap radiasi yang tinggi sehingga menyebabkan berlakunya ribut magnetik di Bumi sekali gus bakal memusnahkan teknologi manusia.

Nyalaan besar matahari membentuk lingkaran-lingkaran api dengan kuasa letupan 100 bom hidrogen yang boleh mencetuskan kemusnahan ekonomi 20 kali ganda lebih teruk berbanding Taufan Katrina yang melanda negeri Lousiana di Amerika Syarikat (AS) pada 2005. - Agensi

Saturday, September 25, 2010

Air pancut terbesar dan termahal







air pancut yg terbesar dan termahal di dunia adalah air pancut di Burj Dubai.Air pancut yang memancut air sebanyak 22,000 galon air dan sebanyak 6,000 lampu hebat dan 25 colour lampu projectors yang mengeluarkan cahaya serta menghasilkan permandangan yang begitu indah pada waktu malam.

Thursday, September 23, 2010

Saintis buktikan Nabi Musa belah laut


LAKARAN artis menunjukkan angin kuat dari timur telah menyebabkan air lagun (kiri) dan sungai (kanan) 'berpusing' dan membentuk dinding air dekat Laut Merah.

BOULDER, Amerika Syarikat (AS) - Saintis-saintis di AS membuktikan kebenaran kisah Nabi Musa membelah laut seperti yang diceritakan dalam kitab suci al-Quran dan Injil, lapor sebuah akhbar semalam.

Satu kajian oleh sepasukan penyelidik yang diketuai saintis Carl Drews dari Pusat Penyelidikan Atmosfera Nasional di sini, mendapati fenomena itu tidak bercanggah dengan hukum fizik.

Kitab al-Quran menceritakan bahawa Nabi Musa membelah laut dengan menghentakkan tongkatnya ke tanah semasa baginda dan kaum Bani Israel terperangkap di antara pasukan tentera Firaun yang sedang mara dan laut di hadapan mereka.

Kumpulan saintis itu yang mengkaji beberapa peta kuno Delta Sungai Nil mendapati laut terbelah itu merujuk kepada sebuah lagun yang kini dikenali sebagai Tasik Tanis di selatan Laut Mediterranean dekat Laut Merah dan satu cawangan Sungai Nil.

Kini, dengan menggunakan simulasi komputer, saintis-saintis itu menunjukkan bahawa laut berkenaan terbelah dua melalui proses tiupan angin kencang yang dikenali sebagai angin timur bertiup selaju 100.8 kilometer sejam (km/j) selama 12 jam menyebabkan aliran air sungai dan lagun itu berpusing balik lalu membentuk seperti dinding air.

Satu model lautan komputer kemudian digunakan sebagai simulasi bagi melihat kesan angin yang bertiup semalamam ke atas air sedalam beberapa meter itu.

Selama empat jam, tiupan angin tersebut menghasilkan jambatan darat sepanjang 3.2 kilometer (km) dan selebar 4.8km.

Sejurus selepas angin timur reda, air lagun dan sungai itu kembali mengalir ke tempat asal seperti ombak tsunami
- kosmo

Monday, September 6, 2010

Kreatif & Inovatif





Kreatif bukan?Hanya menggunakan kertas poster dan majalah lama yang dapat menghasilkan sebuah bentuk yang unik.Sungguh tertarik kalau lihat dari sudut yang jauh yang menampakan seakan pergerakan manusia yang pelbagai bentuk..

Thursday, September 2, 2010

Puasa Tetapi Tidak Solat


Syaikh Muhammad bin Sholih Al ‘Utsaimin -rahimahullah- pernah ditanya: “Apa hukum orang yang berpuasa namun meninggalkan solat?”
Beliau rahimahullah menjawab:

“Puasa yang dilakukan oleh orang yang meninggalkan solat tidaklah diterima kerana orang yang meninggalkan solat adalah kafir dan murtad. Dalil bahawa meninggalkan shalat termasuk bentuk kekafiran adalah firman Allah Ta’ala,

“Jika mereka bertaubat, mendirikan solat dan menunaikan zakat, maka (mereka itu) adalah saudara-saudaramu seagama. Dan Kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi kaum yang mengetahui.” (Qs. At Taubah [9]: 11)
Alasan lain adalah sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam,

“Pembatas antara seorang muslim dengan kesyirikan dan kekafiran adalah meninggalkan solat.” (HR. Muslim no. 82)
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam juga bersabda,

“Perjanjian antara kami dan mereka (orang kafir) adalah mengenai solat. Barangsiapa meninggalkannya maka dia telah kafir.” (HR. Ahmad, At Tirmidzi, An Nasa’i, Ibnu

Majah. Dikatakan shahih oleh Syaikh Al Albani)
Pendapat yang mengatakan bahawa meninggalkan solat merupakan suatu kekafiran adalah pendapat majoriti sahabat Nabi bahkan dapat dikatakan pendapat tersebut adalah ijma’ (kesepakatan) para sahabat.

Abdullah bin Syaqiq -rahimahullah- (seorang tabi’in yang masyhur) mengatakan, “Para sahabat Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam tidaklah pernah menganggap suatu amalan yang apabila seseorang meninggalkannya akan menyebabkan dia kafir selain perkara solat.”
[Perkataan ini diriwayatkan oleh At Tirmidzi dari 'Abdullah bin Syaqiq Al 'Aqliy; seorang tabi'in. Hakim mengatakan bahawa hadits ini bersambung dengan menyebut Abu

Hurairah di dalamnya. Dan sanad (periwayat) hadits ini adalah shohih. Lihat Ats Tsamar Al Mustathob fi Fiqhis Sunnah wal Kitab, hal. 52, -pen]
Oleh karena itu, apabila seseorang berpuasa namun dia meninggalkan solat, puasa yang dia lakukan tidaklah sah (tidak diterima). Amalan puasa yang dia lakukan tidaklah bermanfaat pada hari kiamat nanti.

Oleh sebab itu, kami katakan, “Solatlah kemudian tunaikanlah puasa.” Adapun jika engkau puasa namun tidak solat, amalan puasamu akan tertolak kerana orang kafir (disebabkan meninggalkan solat) tidak diterima ibadah daripadanya.
[Sumber: Majmu' Fatawa wa Rosa-il Ibnu 'Utsaimin, 17/62, Asy Syamilah]

Tuesday, August 31, 2010

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Buat Kali Ke-53




Laungan Keramat MERDEKA !!!3x pada 31 Ogos 1957


BAPA KEMERDEKAAN > TUNGKU ABDUL RAHMAN


BAPA PEMBANGUNAN > TUN ABDUL RAZAK


BAPA PERPADUAN > TUN HUSSEIN ONN


BAPA PERMODENAN > TUN DR.MAHATHIR

Selamat menyambut hari kemerdekaan buat semua rakyat malaysia, dan bersyukur ke hadrat ilahi kerana di beri kesempatan untuk menyambut hari kemerdekaan buat kali ke-53, semoga rakyat malaysia hidup dalam rukun, aman dan damai.

LAGU 1MALAYSIA

Berdiri teguh di bumi nyata
Untuk Semangat Satu Malaysia
Sepakat Rakyat Didahulukan
Pencapaian Diutamakan

Perpaduan Merapat-rapat
Toleransi kaum amalan bersama
Kejayaan kita bangunkan Satu Malaysia

Dalam capai satu tujuan
Tanggungjawab kita semua
Jadi teras bangsa mulia
Kita bina Satu Malaysia

Korus

Satu Malaysia jadi pegangan
Rukun negara teras panduan

Satu Malaysia benteng negara
Rakyat Malaysia taat setia

Ulang Korus 2x

Satu Malaysia untuk semua


Pencipta Lagu : Nik Nizam
Penulis Lirik : Lokgha


Berkorbanlah demi negara yang tercinta...

Satu Malaysia Menjana Transformasi....

Monday, August 30, 2010

Pemanduan Untuk Elak Kemalangan




Pemanduan yang berhemah dapat menjamin keselamatan pemandu dan pengguna jalan raya lain agar mereka lebih selamat semasa berada di jalan raya. Berikut adalah tipn pemanduan secara berhemah:
SENTIASA
Memakai tali pinggang keledar ketika memandu dan tegaskan penggunaanya kepada penumpang lain.

JANGAN
Memandu melebihi had kelajuan. Patuhi dan sentiasa kekalkan pemanduan pada had kelajuan yang dibenarkan dalam apa jua keadaan.

SENTIASA
Kekalkan jarak selamat antara kereta dengan kenderaan di hadapan. Jika memandu ketika hujan lebat, kekalkan lebih jarak antara kereta dengan kenderaan di hadapan atau belakang.

KETIKA
Memandu, kita tidak dapat menjangkakan ada pemandu lain yang melakukan kesilapan. Jangan bergantung kepada pengguna jalan raya lain untuk memastikan keselamatan anda.

JANGAN
Pandang secara tepat lampu kereta dari arah bertentangan kerana ia menyilaukan mata. Pandu lebih ke bahagian kanan dan menjadikan garisan putih sebagai panduan sehingga kereta bertentangan berlalu.

SENTIASA
Peka dan berhati-hati jika sesebuah kereta membelok dengan tiba-tiba untuk mengelakkan lopak air atau lubang besar di jalan raya atau mengelakkan kon pembahagi jalan atau kereta rosak.

MEMANDU
Dalam keadaan cuaca buruk terutamanya hujan lebat sangat sukar. Tayar kereta mungkin hilang kuasa tarikan pada permukaan jalan basah. Pandulah kereta dengan perlahan jika jalan dipenuhi air.

KETIKA
Memandu di lebuh raya, sentiasa berjaga-jaga kerana pemandu lain mengubah lorong dengan tib-tiba untuk keluar.

JANGAN
Biarkan emosi menguasai gaya pemanduan anda kerana ia menyebabkan keburukan dari kebaikan. Awasi tahap panas baran anda ketika memandu di jalan raya.

ELAK
Memandu jika letih. Jika penat, berhenti dan keluar dari kereta seketika dan lakukan senaman ringan untuk menyegarkan badan atau berhenti untuk menikmati secawan kopi yang pastinya membuatkan diri lebih segar dan peka.

ANDA
Dinasihatkan memandu kenderaan yang diselenggara dengan baik. Periksa sistem penyejukan, sistem brek, tahap cecair brek, tali sawat, tayar, minyak enjin, lampu dan pengilap cermin sekurang-kurangnya sekali setiap minggu.

PERHATIKAN
Kereta di hadapan selama 15 hingga 20 saat atau lebih untuk melihat dan menyedari sesuatu situasi merbahaya atau sebarang masalah bagi mengelakkannya, supaya anda boleh menekan brek dengan pantas.

JIKA
Anda ingin mengubah lorong, sentiasa pandang ke belakang menerusi cermin supaya anda tahu jika ada kenderaan yang datang atau tidak.

PERIKSA
Keadaan tayar kereta anda. Pastikan tekanan angin mencukupi dan corak bunga tayar masih ada untuk mendapat pemanduan serta cengkaman yang baik. Ia penting untuk menjamin keselamatan anda ketika memandu di halan raya terutamanya semasa cuaca buruk.

TEMPAT
Paling selamat untuk kanak-kanak ialah di bahagian tengah tempat duduk belakang. Kanak-kanak yang berusia lima tahun ke bawah haruslah ditempatkan dalam tempat duduk khas dan dipasangkan tali pinggang keselamatan.

Wednesday, August 25, 2010

Mengelakkan Kereta Dan Motosikal Anda Daripada Dicuri



Mungkin ramai di antara kita yang pernah kehilangan kenderaan yang disayangi. Tentu menyusahkan bukan. Jadi, disini adalah beberapa tip-tip penting yang boleh diamalkan untuk menggelakkan kecurian kenderaan anda.

kunci Tempat - Tempat Kecurian Kenderaan Sering Berlaku
Tempat letak kereta di hotel-hotel;
Tempat letak kereta awam;
Di hadapan rumah, tepi jalan raya; dan
Kompleks membeli belah.

Faktor - Faktor Berlaku Kecurian Kenderaan

Kecuaian pemilik kenderaan itu sendiri;

Meletakkan kenderaan di tempat terpencil atau gelap di waktu malam;

Meninggalkan kunci di dalam kenderaan;

Meninggalkan barang berharga di dalam kenderaan; dan

Tiada kunci tambahan

Tip Mencegah Kecurian Kereta

Pastikan kereta dipasang dengan alat penggera keselamatan yang baik.Jangan pasang alat penggera keselamatan yang murah kerana kebiasaanya boleh ditiru dan boleh dibuka seperti kenderaan sendiri oleh pencuri kereta.

Letakkan kereta anda di tempat yang mudah dilihat dan pada waktu malam. Letak di tempat yang terang berlampu. Ini bagi memudahkan orang lain melihat sekiranya berlaku sesuatu.

Memasang kunci tambahan untuk stering, gear, roda dan klac.Kunci tambahan pada stering, gear, roda dan klac mungkin dianggap remeh.Tetapi sebenarnya akan melengahkan masa pencuri.Pastikan juga kereta sentiasa dikunci.

Jangan serahkan kunci kepada 'Jockey' kereta sekiranya anda berasa was-was.

Ukir nombor pendaftaran di cermin kereta bagi memudahkan pihak Polis mengesan kenderaan anda (sandblasting).

Elakkan meletak kenderaan bersebelahan dengan kenderaan yang lebih besar seperti lori atau bas kerana ini memudahkan pencuri mencuri.(terlindung dari pandangan orang)

Sekiranya anda mempunyai duit yang lebih, seelok-eloknya pasanglah sistem keselamatan GPS. Sistem ini mungkin agak mahal tetapi ternyata amat berkesan dalam mencari kereta yang hilang. Pastikan anda memasangnya di tempat-tempat pemasangan yang bertauliah.

Anda juga harus berhati-hati supaya kunci kereta tidak ditiru semasa menghantar kenderaan anda untuk di servis. Sebaik-baiknya jangan tinggalkan kereta anda semasa di servis. Kebanyakan pemandu gemar meninggalkan kenderaan mereka semasa di servis.

Tip Mencegah Kecurian motosikal

Letak motosikal di tempat yang dikhaskan untuk motosikal. Jangan letakkan di tempat-tempat yang tidak sepatutnya.

Pasangkan alat penggera kecurian motosikal dan ukirkan nombor pendaftaran motosikal pada bahagian-bahagian yang jelas dilihat.

Jika ingin pergi di tempat yang berdekatan sila pastikan motosikal berkunci dengan sempurna. Anda hendaklah kunci di bahagian yang susah dibuka oleh pencuri dan jangan sekadar hanya kunci di bahagian leher motosikal walaupun sekejap.

Letakkan di tempat yang mudah dilihat pada waktu malam seperti di tempat yang terang dan berlampu.Ini bagi memudahkan orang lain melihat sekiranya berlaku sesuatu.

Pastikan anda memasang rantai dan kunci tambahan bagi mengelakkan motosikal dari dicuri.

Friday, August 20, 2010

Kaedah mengawal kenderaan apabila berlaku kecemasan


Adalah penting bagi seseorang pemandu mengetahui bagaimana memberhentikan kenderaan dalam keadaan kecemasan bagi mengelak kemalangan.

Di bawah ini disertakan panduan kepada para pemandu untuk diikuti sekiranya anda menghadapi masalah seperti berikut:

Tayar Pecah

Pegang stereng dengan erat.

Jika tayar belakang yang pecah, kenderaan akan tidak stabil iaitu membelok ke kiri dan ke kanan.

Membrek dengan perlahan-lahan dan berhati-hati.

Membrek dengan tiba-tiba boleh menyebabkan kenderaan berpusing dan sukar dikawal.

Naik ke atas bahu jalan perlahan-lahan di kawasan rata dan selamat untuk melakukan proses penukaran tayar.

Jangan tukar tayar di kawasan bahaya.

Nyalakan lampu kecemasan atau meletakkan alat kecemasan agar pemandu kenderaan lain akan mengetahui ada kecemasan di hadapan mereka.

Lampu Hadapan Kenderaan Terpadam

Kejadian ini akan menghadkan pandangan anda sewaktu memandu.

Pegang stereng untuk meluruskan arah pergerakan kenderaan dan membrek segera tanpa menyebabkan kenderaan terbabas.

Naik ke atas bahu jalan iaitu jauh dari aliran lalu lintas.

Hentikan kenderaan dengan segera.
Nyalakan lampu kecemasan dan digalakkan menggunakan alat kecemasan untuk memberi amaran kepada pengguna jalan raya yang lain agar lebih berhati-hati.

Kenderaan Terbakar

Kejadian sering kali berlaku akibat litar pintas di dalam sistem elektrik kenderaan.

Hentikan kenderaan dengan segera.

Matikan sistem penghidup/pencucuh dan arahkan penumpang keluar.

Buka bonet dan cabut wayar yang terbakar jika boleh.

Gunakan alat pemadam kebakaran.

Wednesday, August 11, 2010

Fadhilat Dan Kelebihan Solat Teraweh



Sayidina Ali Abi Talib ra. meriwayatkan sebuah Hadis (yang panjang) daripada Raulullah s.a.w, iaitu jawapan baginda ketika ditanya oleh para sahabat mengenai fadhilat dan kelebihan solat Tarawih pada setiap malam di bulan Ramadhan. Baginda bersabda bahawa:

Malam ke 1
Diampuni dosa-dosa orang yang beriman sebagaimana keadaannya baru dilahirkan.

Malam ke 2
Diampunkan dosa orang-orang yang beiiman yang mengerjakan solat Tarawih, serta dosa- dosa kedua ibu bapanya.

Malam ke 3
Para malaikat di bawah 'Arasy menyeru kepada manusia yang mengerjakan solat Tarawih itu agar meneruskan solatnya pada malarn-malam yang lain, semoga Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka.

Malam ke 4
Orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih akan memperolehi pahala sebagaimana pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

Malam ke 5
Allah S.W.T akan mengurniakan pahala seumpama pahala orang-orang yang mengerjakan sembahyang di Masjidil Haram, Masjid Madinah dan Masjidil Aqsa.

Malam ke 6
Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seumpama pahala malaikat-malaikat yang bertawaf di Baitul Makmur serta setiap batu dan tanah berdoa untuk keampunan orang-orang yang mengerjakan tarawih malam itu.

Malam ke 7
Seoalah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa a.s serta menolong Nabi itu menentang musuhnya Fir'aun dan Hamman.

Malam ke 8
Allah S.W.T mengurniakan pahala orang yang bersolat tarawih sebagaimana pahala yang dikurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s.

Malam ke 9
Allah S.W.T akan mengumiakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hamba-Nya seperti Nabi Muhammad s.a.w.

Malam ke 10
Allah SWT mengurniakan kepada kebaikan dunia dan akhirat.

Malam ke 11
la meninggal dunia didalam keadaan bersih dari dosa seperti baru dilahirkan.

Malam ke 12
la akan dibangkitkan pada hari kiamat dengan muka yang bercahaya-cahaya.

Malam ke 13
la akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman sentosa dari sebarang kejahatan dan keburukan.

Malam ke 14
Malaikat-malaikat akan datang menyaksikan mereka bersolat Tarawih serta Allah S.W.T. tidak akan menyesatkan mereka.

Malam ke 15
Semua malaikat yang memikul Arasy dan Kursi akan berselawat dan mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.

Malam ke 16
Allah S.W.T. menuliskan baginya dari kalangan mereka yang terlepas dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.

Malam ke 17
Allah S.W.T menuliskan baginya pahala pada malam ini sebanyak pahala Nabi-Nabi.

Malam ke 18
Malaikat akan menyeru: Wahai hamba Allah sesungguhnya Allah telah redha denganmu dan dengan kedua ibu bapamu (yang masih hidup atau yang sudah mati).

Malam ke 19
Allah S.W.T akan meninggikan darjatnya di dalam syurga firdaus.

Malam ke 20
Allah S.W.T mengurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang soleh.

Malam ke 21
Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga yang diperbuat dari cahaya.

Malam ke 22
la akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman dari sebarang huru-hara pada hari tersebut.

Malam ke 23
Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah bandar di dalam syurga daripada cahaya.

Malam ke 24
Allah S.W.T akan membuka peluang untuk dua puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.

Malam ke 25
Allah S.W.T akan mengangkat seksa kubur darinya.

Malam ke 26
Allah S.W.T akan mengurniakan pahala empat puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.

Malam ke 27
Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya kemudahan untuk melintasi titian sirat sepantas kilat.

Malam ke 28
Allah S.W.T akan menaikkan kedudukannya seribu darjat di akhirat.

Malam ke 29
Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seribu haji yang mabrur.

Malam ke 30
Allah S.W.T akan member penghormatan kepada orang yang bertarawih pada malam terakhir dengan firman-Nya (yang bermaksud): Wahai hambaku!, makanlah segala jenis buah-buahan yang Engkau ingini untuk dimakan di dalam syurga dan mandilah kamu di dalam sungai yang bernama salsabil serta minumiah air dari telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang bernama Al-Kautsar.


Selain daripada fadhilat-fadlulat yang tersebut di atas, terdapat banyak dan berbagai lagi fadhilat dan keutamaan solat Tarawih atau , Qiam. Ramadhan ini bagaimana yang disebutkan dalam hadis-hadis Rasulullah s.a.w.
SELAMAT BERPUASA DAN BERTARAWIH

Klik Klik Di Sini