Friday, August 12, 2011

Detik keagungan turunya Al-quran



SETIAP malam 17 Ramadan, umat Islam memperingati malam Nuzulul-Quran - malam diturunkan wahyu pertama dan selanjutnya.

Pada dasarnya makna 'nuzul' ialah turunnya sesuatu dari atas ke bawah. Namun untuk Al-Quran, ia merupakan pemberitahuan Allah lewat Malaikat Jibrail as kepada Nabi Muhammad saw.

Ada beberapa tahap dalam proses penyampaian wahyu.

Pada mulanya, Al-Quran diturunkan oleh Allah pada suatu tempat yang dipanggil 'Lauh Mahfuz' secara keseluruhan dan tiada diketahui masanya. Hal ini terpapar dalam maksud Surah Al-Buruuj, ayat 21-22:

'(Sebenarnya apa yang engkau sampaikan kepada mereka bukanlah syair atau sihir), bahkan ialah Al-Quran yang tertinggi kemuliaannya; (lagi yang terpelihara dengan sebaik-baiknya) pada Lauh Mahfuz.'

Kemudian ia diturunkan secara keseluruhan juga ke Baitul Izzah di langit dunia pada suatu malam di bulan Ramadan. Hal ini terakam dalam maksud Surah Al-Baqarah, ayat 185:

'(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.'

Tahap berikutnya: wahyu disampaikan kepada Nabi saw secara beransur-ansur sekitar 22 tahun melalui Malaikat Jibrail bak maksud firman-Nya pada surah Asy-Syuara', ayat 193-194:

'Al-Quran dibawa turun oleh Malaikat Jibrail yang amanah - ke dalam hatimu, supaya engkau (Wahai Muhammad) menjadi seorang daripada pemberi-pemberi ajaran dan amaran (kepada umat manusia).'

Selanjutnya, hayati firman- Nya pada Surah Al-Israa, ayat 106:

'Dan Al-Quran itu Kami bahagi-bahagikan supaya Engkau membacakannya kepada manusia dengan lambat tenang; dan Kami menurunkannya beransur-ansur.'

Juga maksud ayat 32, Al-Furqan:

'Dan orang-orang yang kafir berkata: 'Mengapa tidak diturunkan Al-Quran itu kepada Muhammad semuanya sekali (dengan sekali gus)?' Al-Quran diturunkan dengan cara (beransur-ansur) itu kerana Kami hendak menetapkan hatimu (Wahai Muhammad) dengannya, dan Kami nyatakan bacaannya kepadamu dengan teratur satu persatu.'

Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur kerana banyak hikmahnya, antara lain:

Ia menjadi kesenangan dan ketenangan hati Nabi Muhammad dengan berjumpa kekasihnya.

Ia lebih mudah difahami, dihafalkan, diimani dan diamalkan.

Akan sentiasa ada mukjizat yang baru pada setiap turunnya ayat-ayat surah.

Ia boleh mengalahkan cabaran musuh Islam dengan jawaban langsung daripada Allah.

Ia menjawab soalan para sahabat dan juga orang kafir.

Ia tiada kesalahan dalam masa yang lama yang menegaskan bersumber daripada yang Esa iaitu Allah yang Maha Benar - bukan rekaan manusia.

Sebab atau latar belakang turunnya ayat dikenali dengan disiplin 'asbabun nuzul'.

Imam As-Sayuthi (849-911H) mengumpulkan hadis-hadis juga pendapat para sahabat berkenaan dengan asbabun nuzul ini dalam kitabnya, Lubaabun Nuquul Fii Asbaabin Nuzuul.

Sebahagian besar ayat diturunkan kerana untuk memberi hidayah dan petunjuk, panduan jalan yang benar (seperti ayat Ar-Rum: 30), berisi cerita untuk iktibar umat seperti kisah Nabi Yusuf, banyak juga ayat yang diturunkan untuk menjawab keadaan dan kemusykilan.

Ayat 43 surah An-Nisaa menjawab pertanyaan para sahabat dan juga orang Yahudi serta Nasrani. Begitu juga maksud turunnya ayat 83-89 dalam Surah Al-Kahfi.

Disiplin 'asbabun nuzul ' untuk memudahkan kita memahami makna ayat Al-Quran, menghafalkannya dan membantu mengetahui ayat-ayat yang diganti (nasikh) dan dihapuskan (mansukh) dan tempat turunnya ayat iaitu di Makkah (makky) atau di Madinah (madany).

'Asbabun nuzul' bersandarkan hadis dan kesaksian para sahabat yang diiktiraf adil dan sahih (benar).

No comments:

Klik Klik Di Sini