Wednesday, October 27, 2010

Melatih Diri Menguruskan Masa.


Allah swt ada memberikan panduan kepada kita cara untuk memaksimakan masa kita seperti firmanNya di dalam surah Al Asr ayat 1- 3 yang bermaksud:

"Demi masa! Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran"

Imam Ibnu Jarir menerangkan bahawa manusia benar-benar dalam keadaan binasa dan rugi,melainkan mereka yang mentaati Allah serta menjauhi tegahanNya.

Amal ibadah dalam rukun Islam menekankan kepentingan masa. Latihan-latihan yang terdapat di dalamnya mampu mendidik umat mengurus masa dengan baik.

Sebagai contoh: Melaksanakan solat fardu pada waktu yang ditetapkan adalah sebahagian daripada disiplin Islam yang wajib kita tunaikan. Firman Allah dalam surah An-Nisa ayat 103 yang bermaksud: "Solat adalah satu ketetapan berwaktu yang diwajibkan ke atas orang-orang mukmin."

Solat dapat melatih seorang muslim menghargai dan mengurus masa dari segi menjaga ketepatan,tidak menangguh-nangguhkannya dan juga memanfaatkan masa beribadah itu sebaik mungkin dengan khusyuk hanya mengingati Allah dan meninggalkan urusan dunia.

Begitu juga dengan ibadah puasa yang dimana puasa itu bermula dari masuknya waktu subuh sehingga masuknya waktu magrib. Jika kita masih menjamah makanan setelah azan subuh maka tidak sahlah puasa kita itu dan begitu juga jika kita berbuka seminit lebih awal dengan sengaja maka puasa kita dianggap batal.

Ibadah zakat dan haji juga mempunyai latihan yang berkaitan dengan pengurusan masa. Zakat wajib dikeluarkan apabila cukup nisab dan haulnya. Haul bermaksud genap setahun peredaran masa.

Justeru untuk mengeluarkan zakat, seseorang perlu prihatin dengan masa di samping sentiasa mengemaskinikan rekod perniagaan dan harta bendanya.

Bagi perlaksanaan ibadah haji pula, ianya hanya sah dilakukan pada bulan dan masa yang tertentu sahaja.

Oleh itu semua ibadah ini melatih umat Islam menjadi golongan yang memandang penting pengurusan masa dalam kehidupan demi untuk mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat.

Klik Klik Di Sini