Sunday, December 6, 2009

Sifat Orang Badwi di dalam Al-Quran


Pada zaman Nabi Muhammad (s.a.w) wujud dua bentuk penempatan di tanah Arab iaitu penduduk kota dan badwi (gurun Arab). Mereka yang tinggal di kota banyak terdedah dengan dunia luar dan kehidupan mereka lebih bertamadun. Kehidupan mereka penuh dengan nilai-nilai murni selain membudayakan hidup dengan kesusasteraan terutamanya puisi. Berbeza dengan mereka yang mendiami di gurun yang hidup berpindah randah (nomad) dengan nilai kebudayaan yang carca merba. Kesenian dan kesusasteraan langsung tidak dipedulikan menyebabkan mereka membangun tanpa nilai murni dan sifat yang luhur.

Islam yang mula berkembang di Mekah merupakan kota yang penting di semenanjung Arab. Justeru, ramailah yang memeluk Islam dan penduduk di gurun juga tidak ketinggalan memeluknya. Setelah itu timbul masalah kerana penghuni gurun ini mundur dari segi kebudayaan dan intelektual yang menghalang mereka memahami dan mendalami Islam sepenuh jiwa. Allah menyatakan hal ini di dalam Al-Quran:

Orang-orang Arab Badwi itu, lebih banyak kekafiran dan kemunafikannya, dan lebih wajar tidak mengetahui hukum-hukum yang diturunkan Allah kepada Rasul-Nya. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (Surah at-Taubah: 97)

Nyatalah bahawa orang badwi itu merupakan kumpulan yang terdiri dari orang yang kufur yang munafiq serta cenderung untuk mengengkari perintah tuhan. Di dalam zaman nabi sendiri orang-orang sebegini menjadi petulang di dalam dunia Islam. Contohnya seperti golongan 'Kharijiyyah' yang jelas bersifat luar tatasusila kerana mereka merupakan kelompok yang keluar dan memberontak dari golongan Syiah. Golongan fanatik, liar dan ekstrem ini mendakwa diri mereka Islam walaupun tidak memahami Islam sepenuhnya selain menyeleweng isi Al-Quran untuk memerangi orang Islam sendiri. Saidina Ali yang merupakan sahabat paling rapat dengan nabi sehingga diiktiraf 'pintu segala ilmu' juga dibunuh angkara aktiviti ganas golongan kharijiyyah ini.

Telah terbukti bahawa tentera salib mengganas setelah ajaran Kristian diseleweng dan disalahtafsirkan, begitu juga dengan puak-puak yang mengkhianat Islam semata-mata untuk menghalalkan keganasan. Apa yang sama antara tentera salib dan orang badwi ini ialah mereka jahil, tidak faham, kurang didikan, liar dan terpencil dari umum. Keganasan yang dilakukan mereka berpunca dari struktur sosial bukannya agama yang menuntut melakukannya.

Hari ini, dunia Barat telah menyalahertikan fungsi organisasi atau pertubuhan Islam di seluruh dunia. Bagi mereka semua organisasi atau pertubuhan itu merupakan pendukung kepada kegiatan keganasan. Persepsi ini perlu diubah walaupun terdapat badan pengadilan yang boleh membuktikan kesahihan dakwaan itu. Yang penting ialah langkah jangka masa panjang perlu dirangka supaya dapat menyelesaikan permasalahan ini.

Dunia Barat terutamanya Amerika yang mempunyai kuasa majoriti di dunia tidak patut mempergunakan kuasa itu untuk memerangi Islam atau orang Islam tetapi sebaik-baik dipergunakan untuk memberi khidmat bagi menyantuni keperluan dunia Islam. Teori 'benturan peradaban' (clash of civilization) yang menjadi doktrin bermula 90an ini sewajarnya dilenyapkan.

Dalam masa yang sama, umat Islam diseru bersatu bagi menyebarluaskan maklumat tentang Islam yang menganjurkan kasih sayang, persaudaraan, keamanan dan kesejahteraan. Sebarang informasi yang salah boleh menimbulkan perbalahan dan menyemai semangat radikal. Selain itu, umat Islam seharusnya menonjolkan akhlak-akhlak mulia yang ditonjolkan Al-Quran.

Dari penjelasan di atas dapat difahami bahawa punca keganasan ialah kesempitan fikiran dan setentunya pendidikan merupakan jalan keluar baginya. Orang yang kesal dengan keganasan dan yang mengatakan keganasan hanya menghancurkan dan merosakkan Islam dan seluruh masyarakat seharusnya mengambil inisiatif untuk mencari alternatif mendidik masyarakat bagi membendung keganasan.

Harapan semua orang supaya dapat menyelamatkan dunia dari segala keganasan, huru-hara dan kekejaman patut diberi perhatian. Amerika Syarikat yang didominasi oleh populasi Kristian yang mendakwa negaranya 'a nation under God' sebenarnya mempunyai perkaitan rapat dengan orang Islam. Allah juga mengatakan penganut Kristian sebagai "...paling dekat persabahatannya dengan orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: "Sesungguhnya kami ini orang Nasrani". (Surah al-Maidah: 82).

Dalam sejarah, orang yang jahil (tentera salib dan orang badwi) sebenarnya tidak memahami fakta sebenar sehingga menimbulkan perbalahan antara dua agama yang besar ini. Supaya kejadian ini tidak berulang, penganut Kristian dan Islam sepatutnya duduk semeja untuk saling bekerjasama. Duduk semeja bukan untuk mencari siapa salah tetapi bermusyawarah menghasilkan penyelesai masalah agar tidaklah lagi agama dikaitkan dengan sebarang keganasan. Susu sebelanga akan dibuang sekiranya dimasuki walau hanya setitik nila!

No comments:

Klik Klik Di Sini