Friday, December 11, 2009

Pengekalan Tenaga Dalam Nukleus


Tenaga luar biasa yang berada dalam nukleus setiap atom ini pada asasnya berupaya membahayakan berjuta-juta nyawa manusia. Sebenarnya, ia terbentuk melalui dua tindak balas atom yang berbeza. Tindak balas itu dikenali sebagai 'pembelahan' yang terbentuk melalui pemisahan ataupun pembahagian nukleus. Manakala 'pelakuran' adalah penggabungan dua atom yang berbeza menggunakan tenaga yang kuat. Satu tenaga yang besar dan menakjubkan akan terbentuk melalui kedua-dua tindak balas ini.

Semasa eksperimen–eksperimen awal teknik pembelahan dijalankan, saintis ‘membedil’ nukleus dalam uranium-235 dengan neutron-neutron pada kelajuan yang pantas. Hasilnya, mereka mendapati satu keadaan yang amat menarik. Setelah neutron itu diserap oleh nukleus dalam atom uranium tersebut, ia menjadi tidak stabil. Pada masa itu, ada perbezaan jumlah antara proton dan neutron dalam nukleus seterusnya menyebabkan ketidakseimbangan. Justeru, bagi menyelesaikan ketidakseimbangan itu, nukleus mula berpecah sambil mengeluarkan sejumlah tenaga bersama dengan unsur-unsur halus pada kelajuan yang sangat pantas.

Saintis ‘membidik’ neutron yang bergerak itu dengan cubaan bagi ‘menembak’ satu daripada nukleus-nukleus dalam atom uranium. Semua ini dilakukan bagi memecahkan satu daripada nuleus-nukleus atom dalam timbunan atom uranium-235 sehingga pecah berkecai. Semasa ia berpecah, setiap nukleus membebaskan dua ataupun tiga neutron secara purata. Neutron-neutron ini kemudiannya menyerap nukleus-nukleus lain sehingga menghasilkan tindak balas.

Setiap satu nukleus uranium yang baru berpecah akan bertindak balas sama seperti yang pertama. Seterusnya, satu siri pemecahan nuklear atau 'pembelahan' berlaku. Setelah sejumlah besar nukleus-nukleus uranium berpecah dan terbelah, ia akan menghasilkan jumlah tenaga yang amat menakjubkan.

Proses pembelahan dan pemecahan nukleus-nukleus U-235 inilah yang membawa kepada tragedi Hiroshima dan Nagasaki. Tragedi yang meragut berpuluh-puluh ribu nyawa orang awam. Oleh kerana bumi, seluruh atmosfera dan tubuh badan kita sendiri terdiri daripada atom, apakah yang dapat menghalang atom-atom ini daripada menghasilkan tindak balas seumpama itu. Apakah yang mampu menghalang kemusnahan seperti yang berlaku di Hiroshima dan Nagasaki daripada berlaku di tempat lain? Pada bila-bila masa sahaja?

Bayangkan lebih kurang 100 trilion atom dimuatkan ke dalam satu kepala pin, apakah kita boleh gambarkan bagaimana struktur stabil setiap atom berubah sebaliknya. Justeru, apakah ada alternatif lain yang dapat menghalang nuklear daripada memusnahkan seluruh alam semesta dalam masa yang pantas?

Neutron-neutron sekiranya bergerak secara bebas dalam alam iaitu bebas daripada sebarang nukleus atom, ia akan melalui satu proses yang dikenali sebagai ‘kemerosotan beta’. Oleh sebab itu, jarang sekali didapati neutron yang bebas dalam alam semulajadi. Ia hanya ada pada tempoh yang sangat terhad. Justeru, neutron yang digunakan dalam tindak balas nuklear dibebaskan menggunakan cara manual.

Tuhan, pencipta alam yang tiada tandingannya ini sudah mencipta seluruh alam semesta dengan sempurna. Seperti yang dinyatakan dalam ayat 100, surah Yusuf, “....Sesungguhnya Tuhanku maha lembut pada apa yang Dia mahu. Sesungguhnya Dialah yang maha mengetahui lagi maha bijaksana.” Tuhan menciptakan atom, ada tenaga yang menggerunkan dalamnya. Tuhan juga mengawal tenaga itu dengan cara yang luar biasa. Dia menciptakan atom dalam satu sistem yang secara semulajadinya tidak mungkin rosak ataupun binasa. Walaupun segala-galanya yang wujud di alam semesta ini akhirnya akan berhadapan dengan kepupusan ataupun kebinasaan, atom tetap kekal dengan kukuhnya. Nukleus dan elektron-elektron yang berputar dengan kelajuan yang tidak dapat dibayangkan menjadi bukti keindahan dan kesempurnaan ciptaan Tuhan. Bukti kuasa Tuhan yang tiada tandingannya.

No comments:

Klik Klik Di Sini